Relax…. Rezeki itu rahsia Allah.

Salam….

Lately, perniagaan berada di zon kurang selesa. Jiwa terasa sempit. Setiap pagi bila jam menunjukkan hampir jam 8 pagi, jantung mula berdegup laju. Selagi belum melepasi jam 9 pagi, jiwa terasa kabut. Itu adalah waktu-waktu kritikal di mana pihak bank akan menelefon jika sekiranya duit kami tidak cukup untuk membayar jumlah cheque yang telah kami keluarkan. Pernah satu masa tu setiap hari pihak bank call. Sampai satu tahap dah tak tahu nak korek kat mana lagi dah untuk mencukupkan duit yang kurang tu. Segala source telah diperas termasuk lah dari akaun sendiri dan akaun yang lain. Memang sempit sangat rasanya hati dan jiwa ini. Dunia terasa seperti menghimpit dari semua arah.

Bila berada dalam keadaan yang amat terhimpit dan terdesak, mula terfikir untuk bermuhasabah diri. Mencari-cari semula dimana silapnya. Nak kata sale tak bagus, tak juga. Job dengan offshore dan kapal boleh dikatakan masyuk. Jadi di mana silapnya?

Satu hari semasa sedang menyiapkan barang dan dokumen untuk satu job di Labuan, terpandang sebuah buku di rak fail. Rasanya memang dah lama ada buku tu kat situ, tapi tak pernah terfikir dan berselera nak baca pun. Tapi haritu, hati tertarik untuk mencapai dan membaca buku tersebut. Tajuknya “Mudahnya Menjemput Rezeki”

MMR

Dalam flight hampir 3/4 buku tersebut dapat dibaca. Agak ganjil juga sebenarnya sebab biasanya kalau naik kapal terbang terus tertidur sebab ada masalah motion sickness. Tapi, lain halnya hari tersebut. Yang lagi ganjilnya, hati tiba-tiba terasa sangat lapang. Seolah-olah satu beban berat di atas bahu telah teralih. Turun dari kapal terbang dengan hati yang berbunga-bunga dan senyuman terukir di bibir dan tekad untuk mengamalkan apa yang diajarkan oleh buku tersebut. Bukan ilmu baru pun, tetapi tak pernah serius untuk mempraktikkannya kerana kurang yakin dan mungkin kerana belum pernah diuji sebelum ini.

summary

Rezeki bukan hanya berbentuk material. Bukan datang dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Mungkin di situ silapnya saya sehingga diuji Allah supaya tersedar tentang hakikat rezeki.

Acapkali diri terasa lelah apabila memikirkan yang kita tidak cukup bekerja kuat untuk mendapatkan rezeki. Rezeki yang dimaksudkan di sini adalah dalam bentuk material dan wang ringgit semestinya. Kadang kala terdetik untuk membandingkan pencapaian diri dengan rakan sebaya yang seangkatan tetapi berada di berlainan bidang. Tentu sekali perbandingan itu berkisar tentang material dan wang ringgit. Perbandingan tentu sahaja dari segi benda yang boleh diukur seperti gaji, rumah, lifestyle dan sebagainya, pendek cerita.. materials. Perbandingan-perbandingan ini menjadikan hati terasa sedih dan kadang kala terasa menyesal kerana meninggalkan zon selesa.

images (3)

Tetapi selepas membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki (MMR), pandangan mengenai rezeki itu berubah 360 darjah. Bila memikirkan hakikat sebenar rezeki menjadikan diri ini sentiasa bersyukur hampir setiap masa. Satu persatu perkara-perkara yang lepas yang pernah terjadi dalam hidup tidak kira baik mahupun buruk, kenangan manis, mahupun pahit semuanya terbayang dan tergambar depan mata umpama satu peta hidup yang jelas. Semua itu membuatkan diri ini tersenyum dan tidak putus memanjatkan kesyukuran kepada Sang Pemberi Rezeki.

Antara rezeki yang baru kusedari yang rupanya lebih besar nilainya dari wang ringgit dan harta benda adalah:

  1. Anak-anakku yang dua orang ini amat jarang jatuh sakit. Rasanya baru sekali anak sulungku dimasukkan ke hospital (itupun hanya satu hari dan disebabkan observation sahaja). Seringkali terdengar rungutan sahabat-sahabat yang berduit mengenai anak-anak mereka yang kerap keluar masuk ke hospital swasta atau keluhan mereka yang terpaksa selalu mengambik cuti kerana menjaga anak-anak. Saya mula mensyukuri nikmat kesihatan yang Allah kurniakan kepada anak-anak ini. Sesungguhnya, nikmat itu merupakan rezeki yang tak ternilai dengan wang ringgit.
  2. Dalam sesebuah perniagaan, terutamanya perniagaan kecil-kecilan seperti kami (kedai farmasi), antara masalah yang paling memeningkan kepala adalah masalah pekerja. Samada untuk mendapatkan staff yang setia ataupun staf yang jujur ataupun staf yang cekap. Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan kami rezeki mendapat staf yang setia, cekap dan jujur. Mula-mula tidaklah hal staf ini mendapat perhatian untuk disyukuri. Tetapi apabila berborak dengan rakan rakan niaga lain dan terdengar keluhan mereka mengenai staf yang tidak kekal, ataupun staf yang sentiasa bertukar ganti, membuatkan hati terfikir dan mula mensyukuri nikmat rezeki yang ini.

Ada banyak lagi contoh-contoh rezeki yang bukan berbentuk material yang perlu disyukuri sebenarnya. Cuma nak emphasized di sini tentang betapa pentingnya kita menggantungkan hati dan keyakinan hanya kepada Allah dalam bab rezeki ini.

Berada di zon kurang selesa mengajar kami beberapa perkara:

  1. Rezeki itu datangnya dari Allah bukannya berkadar terus dengan usaha kita. Kena faham konsep Sunatullah dan Kudratullah. Dengan memahami konsep ini, barulah hati akan menjadi sangat tenang apabila kadang kala usaha kita yang bersungguh-sungguh tidak membuahkan hasil.
  2. Sentiasa berlapang dada dengan setiap apa yang terjadi kerana kita yakin dengan janji Allah yang mana setiap yang hilang pasti digantikan dengan yang lebih baik jika kita redha. Contoh, mungkin kita kehilangan satu projek, tetapi rupa-rupanya Allah yang gantikan dengan projek yang lebih besar!images (2)
  3. Kena sentiasa yakin yang TIMING Allah sangat perfect. Jika kita telah meminta dan berusaha sehabis mungkin, tapi masih belum dapat apa yang dihajati, yakin sahajalah yang Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Pertolongan Allah akan sampai tepat pada masanya.images
  4. Ramai beranggapan bahawa perlu berusaha dahulu baru bertawakkal. Tapi, bagi saya, kita perlu bertawakkal dahulu seratus peratus kepada Allah, kemudian barulah berusaha dengan sehabis mungkin. Tak faham? Ambil contoh seorang peniaga/pekedai seperti saya. Bila kita hendak mula membuka kedai di pagi hari, kita tak tahu berapa ramai pelanggan akan masuk hari ini, kita tak tahu berapa income kita hari ini, kita tak tahu kerugian apa yang bakal kita alami hari ini. Maka saya memulakan hari dengan duduk mengadap Allah, Maha pemberi rezeki, Maha Penghalang Bala untuk menggantungkan segala keyakinan dan pengharapan agar Allah memberi rezeki yang melimpah ruah kepada saya, saya bertawakkal dengan sepenuhnya yang rezeki hari tersebut akan diturunkan kepada saya. Meminta dengan sesungguhnya dan bertawakkal seratus-peratus yang rezeki itu datangnya dari Allah. Kemudian, barulah saya akan menyusun strategi dan berusaha sehabis mungkin untuk menjadi asbab kepada turunnya rezeki tersebut kepada saya. Dengan bertawakkal dahulu, hati akan menjadi tenang walaupun sikit atau kurangnya rezeki yang kita dapat pada hari tersebut kerana kita yakin, Rezeki itu milik Allah dan hanya setakat itu rezeki yang diperuntukkan untuk kita pada hari tersebut.
  5. Sentiasa yakin yang Allah akan mencukupkan rezeki setiap makhluknya.Key word di sini adalah “CUKUP’. Pernah terjadi duit ditangan cuma RM50, duit di bank tinggal rm20. Padahal hari gaji lagi seminggu. Memang rasa tak tahu macam mana nak mengharungi hari-hari sehingga tibanya hari gaji. Tapi, tanpa disangka, saya survived minggu tersebut tanpa kepayahan. Setiap hari ada sahaja meeting di pejabat yang perlu dihadiri yang tentunya disertai dengan lunch dan minum pagi/petang. Minyak kereta cukup hingga seminngu tanpa perlu di isi. Dan sehingga hari gaji, duit ditangan sebanyak RM50 tadi masih belum terusik! Sejak dari itu, saya memang yakin dengan janji Allah yang Dia akan menCUKUPkan rezeki hamba-hambaNYA, dengan syarat kita perlu menjalankan kewajipan sebagai HAMBA tersebut.
  6. Mintalah pertolongan yang PERTAMA sekali dari ALLAH bila kita menghadapi masalah. Maksudnya, pengaduan masalah seharusnya diajukan kepad Allah kerana segala masalah atau ujian datangnya dari DIA. Saya cuba membiasakan diri untuk selalu mengadu dan bercerita kepada Allah. Cuba menjadikan tabiat untuk bersembahyang sunat atau hajat untuk meluahkan perasaan kepada Allah. Bukankah Allah dah berjanji yang pertolonganNYA sentiasa dekat. Kenapa kita masih mencari yang lain? Hasilnya memang menakjubkan. Bukan sahaja hati menjadi tenang malah sentiasa diberi ilham oleh Allah mengenai jalan keluar dari masalah tersebut ataupun akan mendapat pertolongan dari jalan yang memang tak terfikir dek akal kita. Contohnya, ada satu ketika, hutang kepada supplier agak banyak. Supplier mula menagih hutang dan menyebabkan diri terasa sangat stress. Sehingga tiada mood untuk melayan customer. Oleh kerana kebuntuan, saya terpanggil untuk solat sunat dan dalam solat tersebut saya tiba-tiba meluahkan perasaan sendiri. Umpama bercakap dengan cermin, saya bercerita satu persatu masalah yang dihadapi. Habis solat, hati masih tak keruan tetapi sedikit ringan. Tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari MARA mengenai bantuan berjumlah RM10,000 yang diluluskan. Padahal permohonan tersebut telah lama dibuat sehingga kami pun dah terlupa mengenainya! Terus saja sujud syukur kerana mengenangkan betapa cepatnya Allah menjawab dan memberi pertolongan kepada saya.  images (1)

Wahhh, panjang pula tulisan kali ini. Seronok rasanya berkongsi keajaiban memahami hakikat rezeki ini. Mungkin banyak lagi kisah-kisah menarik dari orang lain, namun ini adalah apa yang saya rasa dan alami sendiri. Mungkin tulisan ini akan dibaca oleh orang yang memerlukan. Saya yakin ada sebab mengapa Allah ilhamkan kepada saya untuk menulis posting ini malam ini.  Saya berharap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi amal jariah kepada saya dan anda semua.

Akhir kata, yakinlah dengan sebenar-benar keyakinan bahawa Rezeki itu rahsia ALLAH…. Teruskan bertawakkal dan letakkan sepenuh pergantungan hidupmu pada Allah. Semoga rahmat Allah bersama kita semua.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s